Pertandingan Robotik Kebangsaan atau National Robotics Competition (NRC) merupakan aktiviti kokurikulum berimpak tinggi anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama-sama rakan strategik, Sasbadi Holdings Berhad. NRC merupakan usaha berterusan yang dilaksanakan KPM bagi menggalakkan murid mengaplikasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam mereka bentuk dan memprogramkan robot. Platform ini memberi penekanan terhadap aspek inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah melalui pembelajaran berasaskan hands-on yang menarik dan menyeronokkan.
Menjadi hasrat KPM bahawa ekosistem pendidikan Malaysia harus segar dengan menggalakkan pembelajaran rentas disiplin sains, teknologi, sukan, seni liberal dan kreatif. Pendekatan ini akan menggalakkan pemikiran kritis, celik masa hadapan dan tinggi susila serta pekerti mulia. Pembangunan potensi kanak-kanak harus bersifat multi dimensi dan bukannya akademik semata-mata. Justeru, pendidikan tidak harus disempitkan kepada ruang dinding bilik darjah sahaja malah perlu melalui proses penerokaan lebih luas seperti mana yang diterjemahkan pada pertandingan ini.
Penerusan program seperti ini adalah selari dengan aspirasi KPM dan martabat karamah insaniah dalam menitikberatkan pembangunan dan pembentukan murid beradab, berakhlak dan berintegriti bagi melahirkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) menerusi visi, misi serta objektif pertandingan yang telah ditetapkan.
Saya juga ingin menyampaikan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Kontinjen Malaysia yang telah berjaya menjadi Juara Keseluruhan sebanyak sepuluh kali dalam kejohanan antarabangsa, World Robot Olympiad (WRO) sejak tahun 2005. Tahniah juga kepada semua guru dan ibu bapa yang telah bersama-sama berusaha untuk menjayakan program ini. Teruskan usaha anak-anak semua untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia melalui bidang robotik dan teknologi tinggi ini. Saya juga doakan kejayaan yang lebih cemerlang dicapai oleh kontinjen negara yang akan bertanding pada kejohanan WRO, November ini. Selamat Maju Jaya!
Sebagai penutup, jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan sekali lagi saya ucapkan kepada semua penggerak yang terlibat khasnya kepada Sasbadi Holdings Berhad atas kerjasama dan sokongan yang diberikan selama ini. Semoga program ini diteruskan dengan jayanya dan memberi impak yang positif kepada pembentukan negara Madani yang dihasratkan. Sekian, terima kasih.
© 2024 Copyright Sasbadi Holdings Berhad Reg No. : 201201038178 (1022660-T) All Right Reserved.